[VIDEO] Lori jagung terbalik, penduduk kampung dicop mencuri berebut kutip hasil atas jalan


  • Benua
  • Khamis, 04 Mei 2023

Tangkap layar penduduk kampung mengutip hasil tanaman jagung yang bertaburan atas jalan raya di Jurang Jaler, Praya Tengah, Lombok Tengah, Indonesia.

SEBUAH lori yang membawa hasil tanaman jagung dilaporkan terbalik akibat kemalangan di Jurang Jaler, Praya Tengah, Lombok Tengah, Indonesia pada Selasa.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh pokok di kawasan tersebut.

Namun, di sebalik insiden terbabit, penduduk kampung tidak melepaskan peluang memungut hasil tanaman jagung yang bertaburan di sekitar jalan utama laluan berkenaan.

Rakaman kejadian dikongsikan di laman Instagram dan menerima lebih 15,000 jumlah tontonan setakat ini.

Mengundang kecaman dalam kalangan warganet, rata-rata menganggap penduduk di kawasan itu kurang prihatin dan hanya mementingkan diri apabila sanggup mengutip tanaman jagung yang bukan kepunyaan mereka.

"Sesetengah orang memang tiada sifat malu, sanggup ambil hasil tanaman orang lain walhal pemiliknya baru sahaja kemalangan dan kerugian," ujar jhoni_halintar.

"Ini sudah dikira kes mencuri, jagung itu bukan milik mereka dan tiada hak untuk mengambilnya, jadi pemilik boleh bawa kes ini ke balai polis," kata dikisetiawan.

"Apa pun situasinya, jagung itu semua perlu diserahkan semula kepada pemiliknya, bukan boleh ambil sesuka hati macam orang tiada hati perut," tambah mardison69.

Dalam pada itu, tiada kematian dilaporkan berlaku dalam kemalangan terbabit dengan hanya tanaman jagung yang bertaburan di atas jalan.

"Tiada kemalangan jiwa berlaku, hanya lori yang terbalik dan tanaman jagung bersepah di laluan berkenaan," kata Ketua Unit Trafik Polis Loteng, Putu Gede Caka.

Menurut Caka, pihaknya telah mengarahkan beberapa anggota untuk mengawal lalu lintas di jalan raya berkenaan dan membantu masyarakat setempat untuk mengutip puluhan tan jagung yang bertaburan di laluan tersebut.

"Anggota kami telah pergi ke lokasi kejadian untuk membantu mengawal lalu lintas,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram