'Kami terkejut lori itu tiba-tiba berundur', pemain Penang FC ceritakan detik cemas terlibat nahas


  • Podium
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Amer (tengah) dan Azmeer terlibat dalam kemalangan di Balik Pulau, pada Khamis lepas. — Media sosial

PERTAHANAN Penang FC, Muhamad Azmeer Aris bersyukur tidak mengalami kecederaan serius apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis iaitu sehari sebelum majlis perkahwinannya yang berlangsung pada Jumaat.

Pemain berusia 24 tahun itu bersama-sama rakan sepasukan, Amer Azahar dalam perjalanan ke pusat bandar George Town, Pulau Pinang bagi menyertai perlawanan Liga Super 2023 sebelum kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lori yang terbakar pada petang Khamis.

Menceritakan detik cemas itu, Azmeer dan Amer sempat keluar daripada kenderaan jenis Honda HRV itu sejurus sahaja dirempuh menyaksikan bahagian hadapan keretanya remuk.

Mereka hanya mengalami bengkak di lutut kanan akibat hentakan dan lega tiada kecederaan teruk dialami sehari sebelum majlis pernikahannya.

“Saya dan Amer dalam perjalanan untuk bersama pasukan bagi perlawanan Liga Super dan tidak sangka boleh ada lori terbakar di depan kami," katanya dalam kenyataan MFL.

Tambah Muhamad Azmeer, dia tak boleh berbuat apa-apa kerana banyak kereta lain banyak di belakang dan semuanya berlaku dengan cepat sekali.

“Saya sempat berhentikan kereta dan dekat belakang dah ada banyak kereta lain, jadi kami terkejut apabila tiba-tiba lori tu berundur dalam keadaan terbakar menghala ke arah kami.

"Bagaimanapun kami bersyukur dapat keluar dengan selamat. Cuma lutut saya ada bengkak sikit disebabkan hentakan.

"Begitupun, saya tetap bersyukur sangat tidak berlaku apa-apa yang teruk dekat kami berdua.

“Keluarga saya dan keluarga isteri memang risaukan keadaan saya sebab kami berkahwin pada Jumaat dan Alhamdulillah majlis perkahwinan pun dah berjalan lancar,” katanya.

Kejadian yang berlaku itu menyaksikan dua pemain Penang FC tersebut tidak bermain dalam aksi berdepan Kuching City FC, menyaksikan Penang menang dengan keputusan 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram