Pakatan Harapan sedar ancaman 'tsunami hijau' menjelang PRN


  • Politik
  • Rabu, 05 Apr 2023

Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menyedari ancaman 'tsunami hijau' di sesetengah kawasan. — Gambar Fail/THE STAR

PAKATAN Harapan (PH) Pulau Pinang mengenal pasti 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana mereka akan menghadapi pertembungan sengit dengan Perikatan Nasional.

Kesemua kawasan tersebut merupakan kawasan yang dihuni oleh orang Melayu seperti Teluk Ayer Tawar, Permatang Berangan, Sungai Dua, Bertam, Penaga, Pinang Tunggal, Sungai Acheh dan Sungai Bakap.

Tiga lagi kerusi negeri yang dianggap sukar untuk dimenangi PH adalah kawasan Parlimen Permatang Pauh, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Permatang Pauh pernah menjadi kubu PKR sejak 1982 namun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kehilangan kerusi tersebut apabila dia ditewaskan oleh calon PAS, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Menurut sumber PH, kerajaan negeri pimpinan DAP menyedari ancaman 'tsunami hijau' tetapi tetap yakin mereka boleh mengumpulkan cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

“Kesemua mereka yang menghadiri taklimat pada hari Ahad mempunyai pendapat yang sama.

“Kami berasakan kami mungkin kehilangan sehingga 11 kerusi kepada Perikatan Nasional, terutama di kawasan yang didominasi oleh orang Melayu.

“Semua wakil parti dalam PH menghadiri mesyuarat di Komtar,” katanya.

Menurut sumber dalaman itu lagi, taklimat yang diadakan itu tidak menyentuh mengenai peruntukan kerusi PH dan Barisan Nasional.

"Taklimat itu membolehkan kami menilai peluang kami di setiap kawasan dan bagaimana kami kami akan menghadapi pilihan raya," katanya.

Walaupun kebanyakan kerusi yang dipegang PH di kawasan penduduk Cina di pulau itu tidak terancam, perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai tiga kawasan majoriti Melayu di Teluk Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas.

“PH perlu bekerja lebih keras untuk memenangi kerusi ini. Kami yakin kami boleh mengekalkan sekurang-kurangnya dua daripada tempat berkenaan, tetapi ia akan menjadi pertarungan yang sengit.

"Kami akan mengetahui lebih lanjut selepas perbincangan kami dengan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan," kata sumber parti itu.

PH sepatutnya membincangkan rundingan kerusi dengan BN, tetapi ia ditangguhkan dan satu taklimat oleh pemimpin PH pula yang diadakan.

Antara yang hadir semasa taklimat itu ialah Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow, Timbalan PKR Negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, Timbalan Pengerusi DAP negeri, P. Ramasamy, Setiausaha DAP Negeri Lim Hui Ying, Naib pengerusi DAP Negeri, Zairil Khir Johari, Pengerusi Amanah Negeri, Dr Roslan Ahmad dan ahli jawatankuasa majlis pimpinan PKR Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

Pada pilihan raya umum lalu, Pakatan memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN, dengan baki tiga kerusi dimenangi Umno (2) dan PAS (1).

DAP menawan kerusi terbanyak dengan 19, diikuti PKR (14) dan masing-masing dua untuk Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Sebanyak 40 kerusi akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri akan datang yang mungkin akan diadakan pada Julai.

Pulau Pinang adalah antara enam negeri yang perlu mengadakan pilihan raya negeri tahun ini selain daripada Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram