RUMAH Terbuka Malaysia MADANI Bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 dimulakan di Kedah pada 29 April ini sebelum ke lima negeri lagi.
Senarai acara rumah terbuka itu, menimbulkan tanda tanya terutama bagi pemimpin di blok pembangkang.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, rumah terbuka di Kedah akan diadakan di sebuah hotel di Alor Setar dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Seterusnya, acara itu turut berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 6 Mei dan Dewan Majlis Bandaraya Seremban di Negeri Sembilan, esoknya.
"Penganjuran rumah terbuka di kedua-dua negeri akan berlangsung dari 11 pagi hingga 2 petang," menurut Fahmi dalam satu kenyataan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil
Menurutnya, bagi penganjuran di Kelantan, ia akan diadakan di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 12 Mei manakala acara di Terengganu berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu pada 13 Mei.
Katanya, rumah terbuka di kedua-dua negeri akan diadakan dari 7 malam hingga 10.30 malam.
Fahmi berkata, kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak di Batu Caves, Selangor pada 14 Mei dari 8 malam hingga 11 malam.
"Semua dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI.
"Semoga Syawal ini memberi peluang untuk kita saling bermaafan di samping mengeratkan lagi silaturahim sesama kita," ujar beliau.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan majlis rumah terbuka anjuran kerajaan itu sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Meskipun tidak menghalang penganjurannya, beliau berkata, langkah membuat majlis secara besar-besaran itu dilihat bertentangan dengan pendirian kerajaan Persekutuan yang sebelum ini memberikan mesej mengenai keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan.
Ujarnya, sambutan rumah terbuka tersebut sepatutnya diadakan hanya di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman kerajaan sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram