Rumah Terbuka Malaysia Madani: "Yang penting jaga cermat wang rakyat untuk belanja bagi makan rakyat setahun sekali" - PM Anwar


  • Politik
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Anwar meninggalkan pekarangan Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh selepas beliau menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan pada Jumaat. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bermula pada Sabtu hanya bertujuan bertemu dengan rakyat.

Memetik laporan media, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, penganjuran majlis rumah terbuka berkenaan tidak seharusnya menimbulkan perspektif negatif.

"Yang penting jaga cermat wang rakyat untuk belanja bagi makan rakyat setahun sekali. Mereka dapat berdamping dengan kita itu tujuannya," katanya pada pemberita selepas selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Kerajaan Perpaduan ‘menunggang agama’ demi politik kerana menganjurkan rumah terbuka di enam buah negeri yang akan melangsungkan pilihan raya.

Tambah beliau lagi, majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan hanya dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan sahaja.

Sebaliknya semua parti termasuk negeri yang ditadbir Pas menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri dan secara sinis Perdana Menteri berkata, parti itu kadangkala melaksanakannya jauh lebih mewah.

“(Saya) tidak bertindak balas atas semangat raya, Aidilfitri. Semua negeri buat, kita tidak boleh buat kenyataan yang menzahirkan sikap prasangka dan buruk sangka terhadap orang.

“Semua kerajaan negeri buat, kerajaan di bawah PH buat, bawah Barisan Nasional buat, bawah Pas pun buat kadang-kala mewah,” kata Anwar.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow memaklumkan penganjuran majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak bermotifkan politik, sebaliknya untuk bermesra dengan rakyat.

Katanya, rumah terbuka adalah satu kesempatan untuk mendampingi rakyat, bermesra dengan rakyat.

"Rumah terbuka merupakan satu kesempatan untuk pemimpin tertinggi negara berjumpa dengan rakyat jelata.

"Penganjuran rumah terbuka turut memberi kesempatan kepada rakyat untuk menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran aplikasi Pearl-One Touch Penang di Dewan Bandaran, Pulau Pinang pada Ahad.

Untuk makluman, Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri akan bermula di Kedah Sabtu diikuti Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram