AHLI Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kritikan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap penganjuran Rumah Terbuka Malaysia MADANI di enam negeri.
Beliau berkata, kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Negeri Perikatan Nasional (PN) itu menunjukkan pemimpin berkenaan berada dalam situasi tidak selesa sekiranya majlis tersebut diadakan.
"Sanusi takut. Apa yang tidak wajarnya? Buat rumah terbuka ke akar umbi lagi wajar. Biar rakyat di negeri lain merasa. Taklah dari dulu sampai sekarang Putrajaya sahaja merasa.
"Dia kata itu kempen. Tujuan rumah terbuka ialah PR. Iaitu meluaskan public relation kita dengan orang ramai, jiran, kenalan rapat dan saudara mara. Semua orang boleh datang.
"Sebab itu semua wakil rakyat dan MB buat open house. Memang ada sedikit unsur politik dan kempen. Sambil menyelam sambil minum air. Apa salahnya," kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Muhammad Sanusi pada Ahad menyifatkan majlis rumah terbuka anjuran kerajaan yang akan bermula pada 29 April ini sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, langkah membuat majlis secara besar-besaran itu dilihat bertentangan dengan pendirian kerajaan Persekutuan yang sebelum ini memberikan mesej mengenai keperluan untuk menjimatkan perbelanjaan.
Ujarnya, sambutan rumah terbuka tersebut sepatutnya diadakan hanya di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelaziman kerajaan sebelum ini.
Selain Kedah, Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan turut diadakan di lima negeri lain iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Mohd Puad berkata, sekiranya benar mahu berjimat, Muhamad Sanusi tidak seharusnya terlebih dahulu membuat sebarang penganjuran rumah terbuka.
"Lagi pun mungkin orang yang sama akan hadir. Itu pembaziran. Sepatutnya Sanusi fokus tujuan open house. Bermaaf maafan dan kemeriahan.
"Kita mahu rakyat gembira. Sebab itu dapat cuti tambahan dan tol percuma empat hari," ujarnya.
Muhammad Sanusi dijadual mengadakan rumah terbuka di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah pada 27 April ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram