Nasib malang, pak guard 73 tahun tak sempat lapor bongkah batu jatuh


  • 112
  • Khamis, 04 Mei 2023

Pihak bomba menjalankan kerja menyelamatkan mangsa yang tertimbus dalam tertimbus dalam tanah runtuh di di Wisma YPR, Taman Seputeh, Kuala Lumpur pada tengah malam Khamis. — Facebook/Bomba Kuala Lumpur.

SEORANG pengawal keselamatan maut selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, di sini awal pagi Khamis.

Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata, lelaki berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, terdapat bongkah batu yang jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu, pada 8 malam pada Rabu.

"Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu namun tidak sempat.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam Khamis dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Khamis.

Mohd Rizuan berkata seramai 41 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh bagi operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada kira-kira 6.30 pagi pada Khamis dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram