SEORANG wanita bertindak terus memandu keretanya ke dalam air gara-gara terlalu mengikut laluan yang dipaparkan alat penunjuk arah atau Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).
Kejadian pada hujung minggu lalu itu berlaku di pelabuhan bot kecil di Honokohau, Hawaii Barat, Amerika Syarikat (AS) dan sempat dirakam oleh seorang penduduk, Christie Hutchinson.
Menerusi klip berdurasi empat minit 30 saat yang dikongsikan di TikTok itu, seorang wanita yang memandu kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) dilihat tersenyum walaupun sebahagian kenderaan itu sudah ditenggelami air.
Kejadian tersebut berlalu pada pukul 5 petang Sabtu.
Selepas wanita itu dan penumpangnya diselamatkan dari kereta tersebut, Christie berkata, dia dimaklumkan pasangan pelancong itu sedang mencari tempat menyediakan perkhidmatan menyelam bersama ikan pari.
Orang ramai di sekitar pelabuhan berkenaan tampil membantu menyelamatkan pasangan itu keluar dari kenderaan mereka.
Dimaklumkan, GPS digunakan itu membawa mereka memasuki perairan tersebut.
Christie berkata, lebih pelik mengenai insiden itu adalah apabila pemandu dan penumpang kereta tersebut dilihat tidak tergesa-gesa untuk keluar dari dalam kenderaan itu mula memasuki air.
"Saya tidak fikir dia [pemandu] pada mulanya menyedari bahawa dia berada di pelabuhan. Air sebenarnya tidak mula mengalir masuk tidak lama selepas itu," katanya.
Christie berkata, pemandu berkenaan seolah-olah tidak sedar punca menyebabkan orang di sekitar pelabuhan itu memandang mereka dan menjerit ke arahnya.
"Saya rasa semua orang di sini benar-benar terkejut sebaik melihat insiden tersebut," ujarnya.
Ketika kenderaan itu perlahan-lahan masuk ke perairan, mereka yang berada di kawasan sekitar memulakan usaha bagi menyelamat kedua-dua individu berada di dalam kereta tersebut.
Pelancong itu juga dilihat tidak mengeluarkan sebarang kata-kata dan hanya mendengar arahan orang ramai yang tampil membantu.
"Mereka tidak kelihatan panik, tapi mungkin sedikit terkejut," katan Christie.
Insiden tersebut berlaku dengan pantas dan ketika pasukan penyelamat tiba, kenderaan itu telah tenggelam sepenuhnya.
Jabatan Bomba Hawaii tiba pada pukul 5.25 petang mendapati kesemua individu sudah dibawa keluar dari kenderaan.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu, kata Penolong Ketua Jabatan Bomba, Darwin Okinawa.
Pasukan petugas kemudiannya tampil membantu syarikat tunda dengan memasang kabel untuk menarik kenderaan itu keluar dari air. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram