Polis buru 2 suspek letupan bom buatan di Jalan Klang Lama


  • 112
  • Rabu, 03 Mei 2023

Polis menjalankan siasatan berhubung penemuan bom buatan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. — PDRM

POLIS kini sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan sejenis bom buatan yang dilaporkan meletup di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sekitar pukul 6 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, perkara itu dimaklumkan oleh seorang pengadu lelaki berusia 27 tahun yang menerima panggilan daripada pengawal keselamatan.

“Hasil siasatan, pihak polis telah menjumpai tiga paip PVC warna putih yang telah diubah suai menjadi bahan letupan. Pemeriksaan pada paip PVC menjumpai alat 'Improvised Explosive Device' (iED) kawalan jauh.

“Pihak Bomba, Unit Pemusnah Bom dan Jabatan Forensik turut menjalankan siasatan dan telah menjumpai serpihan letupan di tempat kejadian dan kesan cap jari berjaya ditimbulkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya lagi, hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat pergerakan dua suspek lelaki yang berjaya dikesan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Amihizam dalam masa sama menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram