Jika rumah dirobohkan, penduduk Kampung Koskan Tambahan tiada tempat untuk dituju


  • Massa
  • Rabu, 03 Mei 2023

Lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan menerima notis pengusiran rumah sehari sebelum dan pagi Hari Raya Aidilfitri. — Twitter/PSM

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa agar rumah-rumah penduduk di Kampung Konkan Tambahan, Serendah di Batang Kali, Hulu Selangor tidak dirobohkan sehingga rundingan selesai.

Menerusi satu kenyataan bersama, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dan Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi turut menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor segera campur tangan bagi memberhentikan pengusiran paksa dan memastikan penduduk kampung mendapat pembelaan, sesuai slogan madani yang dianjurkan kerajaan.

Menurutnya, penduduk memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang tawaran seperti yang didakwa oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) dan sekiranya ada, ia bersifat individu dan bukan dengan wakil penduduk.

"Hari ini kami telah hadir ke Kampung Koskan Tambahan, Serendah, Hulu Selangor bagi bertemu penduduk kampung yang telah menerima notis untuk mengosongkan kediaman.

"Mereka telah menetap lebih dari 40 tahun dan tidak ada tempat untuk ditujui sekiranya dirobohkan. Apa yang lebih menyedihkan, mereka menerima notis mengosongkan tanah ketika umat Islam sedang bersiap menyambut Aidilfitri," katanya pada Selasa.

Jelas kenyataan itu, penduduk turut memaklumkan permohonan hak milik tanah telah dibuat sebanyak dua kali di lot yang sama dan kedua-duanya ditolak dengan dua alasan berbeza.

Menurutnya, alasan pertama kerana dikatakan ia merupakan tanah rizab sungai, manakala penolakan kali kedua pula disebabkan kawasan berkenaan adalah tanah milik persendirian.

"Ini melahirkan kekeliruan dalam kalangan penduduk dan diharapkan agar hal ini dapat dijelaskan dengan disertakan kedudukan sebenar lot tanah yang dimaksudkan," ujarnya.

Tambah mereka, penduduk kampung bersedia menerima rumah Selangorku seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, namun berharap terdapat perjanjian hitam putih sebelum mereka berpindah keluar.

"Adalah juga amalan Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat B40 sebelum ada pengusiran paksa.

"PSM dan Muda akan terus mengekori rapat berkaitan isu ini dan akan memberikan segala sokongan yang perlu kepada penduduk kampung," tegasnya.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan terjejas apabila menerima notis pengusiran rumah sehari sebelum dan pagi Hari Raya Aidilfitri.

Notis mahkamah itu diterima daripada wakil sebuah syarikat yang telah diberikan hak milik bagi kawasan tanah rizab tersebut yang didakwa untuk tujuan pembinaan loji kumbahan najis bagi kawasan perumahan berhampiran yang akan dibina syarikat itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram