SEBANYAK 12 keluarga yang menetap di tanah rizab Kampung Sungai Choh, Rawang, Selangor bakal berdepan dengan tindakan pengusiran secara paksa yang berkuat kuasa pada Selasa depan.
Penyelaras Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan (GPBP), Parameiswary berkata, penduduk di kawasan tersebut pernah membuat beberapa permohonan tanah kepada pihak berwajib untuk terus tinggal di lokasi berkenaan.
Namun katanya, permohonan tersebut ditolak atas alasan kawasan tersebut adalah tanah rizab sungai dan kawasan banjir.
"Pada masa yang sama, tanah tersebut telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju tanpa pengetahuan penduduk kampung.
"Pemaju turut membawa kes ke mahkamah dan mengambil perintah 89 untuk mengusir penduduk dari kampung pada Selasa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Oleh itu, Parameiswary berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Bertindak Kampung Koskan Tambahan, Rawang akan menghantar satu memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pintu Utama Bangunan SUK Selangor di Shah Alam, Selangor pada Khamis bagi mengelakkan pengusiran tersebut.
Katanya, seramai 10 keluarga akan turut hadir pada sesi serahan memorandum berkenaan untuk menuntut hak perumahan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram