Polis siasat himpunan 1 Mei, penganjur dan individu terlibat akan dikenakan tindakan tegas


  • 112
  • Selasa, 02 Mei 2023

Tangkap layar perhimpunan 1 Mei yang diadakan di ibu negara pada Isnin.

SATU perarakan dan perhimpunan telah diadakan di ibu negara sempena Hari Pekerja yang membawa tema ‘Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan’ membabitkan kumpulan masyarakat, kesatuan sekerja dan parti politik progresif pada Isnin.

Perhimpunan tersebut dilakukan di hadapan Bangunan Maju Junction dengan berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak ke Jalan Leboh Ampang (Belakang Bangunan South Tower) dan di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Susulan itu, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung perhimpunan berkenaan dan sidang media gimik pelancaran Gerakan Rakyat yang diadakan di dua lokasi ibu negara tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya terkesan dua perhimpunan yang berlangsung serentak bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari pada Isnin.

Katanya, dua perhimpunan tersebut didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.

“Hasil daripada pemerhatian, didapati sekitar 200 orang menyertai perhimpunan yang diadakan di hadapan Bangunan Maju Junction manakala kira-kira 30 orang menyertai perhimpunan di hadapan Kompleks SOGO.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tegas Dellhan, penganjur bagi kedua-dua perhimpunan tersebut akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihati supaya tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

“Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram