KEBIMBANGAN seorang bapa di Kluang, Johor mengenai keadaan anaknya yang disangka mengalami demam bertukar menjadi mimpi ngeri selepas kanak-kanak tersebut meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi strok haba.
Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata, anak keduanya Airiel Syahren, 12, mengalami demam panas pada malam Ahad
Dia pada mulanya meminta anaknya berehat di dalam bilik, namun keadaan menjadi bertambah teruk menjelang tengah malam.
"Saya fikir ia demam biasa dan menyuruhnya tidur di ruang tamu yang lebih sejuk," kata Syahrol Azmi seperti dipetik daripada laporan sebuah akhbar tempatan.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya mendapati dia menggigil dan mengalami kekejangan, lalu menghubungi Jabatan Kecemasan Hospital Kluang.
“Saya diberitahu untuk tidak memberinya sebarang makanan atau cecair sehingga ambulans tiba,” katanya pada Selasa.
Syahrol Azmi berkata, keadaan anaknya bertambah teruk ketika menunggu ambulans dengan meronta-ronta di atas katil sehingga terberak dan terkencing.
“Dia kelihatan seperti sangat kesakitan. Kami pergi ke hospital tetapi saya kemudian pulang ke rumah dan memberitahu anak sulung saya untuk tinggal bersama Airiel Syahren.
“Saya kembali ke hospital tidak lama kemudan dan mendapati doktor memberi rawatan kecemasan kepada anak saya.
“Seorang doktor memanggil saya ke biliknya dan memberi taklimat tentang keadaannya.
“Saya tidak sampai hati melihatnya dalam keadaan sebegitu... saya fikir lebih baik dia pergi dan dilepaskan kesakitan daripada diseksa sebegini,” katanya.
Menurut rekod hospital, Airiel Syahren meninggal dunia akibat 'septic shock secondary to meningoencephalitis'.
Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bentong selepas solat Zohor pada Isnin.
Seorang lagi anak lelaki Syahrol Azmi, Aidil Syahren, sembilan tahun, juga mengalami demam pada Ahad tetapi pihak hospital menyatakan keadaannya stabil.
Kementerian Kesihatan (KKM) pada 28 April lalu mengesahkan bahawa kes kematian akibat strok haba di Kelantan membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan, terdapat lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan dengan tiga kes dilaporkan di Sarawak membabitkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram