CUACA panas melampau yang kini melanda beberapa negara bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah menimbulkan risiko kepada haiwan termasuk mengalami strok haba.
Bekas Penolong Pengarah Zoo Negara yang juga Pensyarah Fakulti Farmasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Prof Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam berkata, seperti manusia, strok haba terhadap binatang juga boleh meragut nyawa, selain menyebabkan kerosakan organ dalaman haiwan jika tidak mendapat rawatan segera.
"Semua haiwan yang tergolong dalam kumpulan mamalia, reptilia mahupun burung turut mengalami strok haba, misalnya anjing dan kucing yang mempunyai kelenjar yang sangat sedikit yang terletak di tapak kaki dan sekitar hidung untuk berpeluh, tidak seperti manusia boleh keluar peluh di setiap segi,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, haiwan di zoo juga perlu dijaga rapi pada musim panas dengan membekalkan air yang secukupnya untuk membasahkan badan.
Dr Vellayan yang juga bekas Ketua Veterinar di Zoo Negara menjelaskan, bagi haiwan yang tidak gemar badannya dibasahkan dengan air, haiwan seperti ini perlu diberikan air minuman yang secukupnya, selain ditempatkan di kawasan yang mempunyai tahap pengudaraan baik.
"Bagi haiwan yang sentiasa berada dalam air atau berendam seperti penguin dan memerang pula, kolam air disarankan ditambah dengan ketulan air batu bagi memastikan ia sejuk kerana air yang tidak mengalir juga boleh meningkat suhunya sekiranya cuaca panas terik,” katanya.
Selain itu, Dr Vellayan turut mengingatkan pemilik haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing supaya sentiasa peka terhadap keadaan kesihatan haiwan mereka bagi menghindari risiko strok haba.
"Antara simptomnya (strok haba) seperti degupan jantung pantas, kesukaran bergerak, terpinga-pinga dan tidak menentu, menghasilkan banyak air liur serta lidah dan gusi biru kerana kekurangan oksigen dalam darah.
"Selain itu, suhu badan haiwan ini juga akan melebihi 42 darjah (Celsius), kurang keseimbangan atau kestabilan apabila bangun dengan empat kaki dan jika ini berlaku, pemiliknya perlu stabilkan suhu badan haiwan itu dan bawa kepada doktor haiwan dengan segera kerana jika diabaikan, ia boleh mendatangkan kematian,'’ katanya.
Menurut Dr Vellayan, pemilik haiwan peliharaan juga boleh meredakan simptom strok haba dan dehidrasi dengan membasahkan badan haiwan peliharaan mereka dengan meletakkan tuala yang basah pada kepala dan dahi selain memberikan air untuk diminum serta membasahkan lidah haiwan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram