Anak maut strok haba: Ibu mohon hentikan spekulasi, emosi keluarga terganggu


  • Massa
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Dua ibu yang kehilangan anak akibat strok haba menggesa orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi berkaitan kematian anak mereka. — Awani

DUA ibu yang kehilangan anak masing-masing dan dikaitkan dengan strok haba di Kelantan baru-baru ini meminta orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi sehingga menyebabkan emosi mereka terganggu.

Yawaree Samoh, 25, berkata, pemergian anak tunggalnya, Nur imani Ahmad Faris Fazli, yang berusia setahun tujuh bulan pada Selasa lepas, memberi kesan kepada mereka sekeluarga.

"Saya tidak sangka dan rasa macam tidak percaya akan kehilangan imani tetapi saya perlu reda dengan takdir ALLAH.

"Cuma, saya minta supaya orang ramai hentikan sebarang spekulasi mengenai anak saya kerana ia memberi kesan kepada kami sekeluarga," katanya.

Turut menerima nasib sama, Nur Azwani Alias, 32, ibu seorang lagi mangsa iaitu Muhamad Syamil Akil, 11, turut berharap orang ramai tidak menokok tambah cerita yang bukan-bukan dan memberi komen negatif di media sosial mengenai anaknya.

"Di saat kami sekeluarga masih meratapi pemergian anak, masih ada segelintir masyarakat yang memberi komen negatif seolah-olah kami tidak cakna mengenai kesihatan anak.

"Saya harap perbuatan ini tidak lagi berlaku kerana kami sebagai ibu bapa berasa sangat sedih tetapi kepada mereka yang mendoakan, saya ucap terima kasih atas ingatan yang diberikan," katanya.

Nur Azwani, yang ditemui di Kampung Tengah Perupok, Bachok, Kelantan berharap ibu bapa sentiasa memantau gerak-geri anak mereka terutama ketika cuaca panas agar tidak melakukan sebarang aktiviti luar yang boleh menjejaskan kesihatan.

"Selain itu, saya minta supaya kanak-kanak khususnya selalu minum air masak supaya badan mereka sentiasa sihat sepanjang musim panas ini," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial kisah kedua-dua mangsa meninggal dunia dipercayai akibat strok haba.

Nur imani, dari Kampung Kota, Kota Bharu, Kelantan, meninggal dunia selepas mengalami batuk selama seminggu dan muntah-muntah beberapa hari kemudian manakala Muhamad Syamil menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Balai, Bachok, Kelantan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram