SELURUH negara Asia Selatan dan Asia Tenggara kini berdepan gelombang haba dengan beberapa negara mencatat rekod suhu tinggi.
Bangladesh mencatatkan suhu tertinggi dalam tempoh hampir 60 pada tahun minggu lalu. Manakala di India, sekurang-kurangnya 13 maut akibat strok haba dan dua kematian di Thailand.
Menurut laporan terbaru Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim memberi amaran bahawa 'setiap kenaikan pemanasan global akan meningkatkan bahaya berganda secara serentak'.
Jabatan Meteorologi Thailand berkata, suhu mencecah rekod 44.6 darjah Celsius di wilayah barat Tak pada 15 April lalu dan mengingatkan bahawa suhu panas akan berterusan hingga minggu depan.
"Mungkin cuaca panas tahun ini bertambah teruk kerana tindakan manusia," kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan itu, Thanasit Lamananchai.
Menurut saintis yang juga Ketua Serantau Institut Dasar Iklim, Climate Analytics, Fahad Saeed, rekod panas tahun ini di Thailand, China dan Asia Selatan adalah trend iklim yang jelas akan menyebabkan cabaran kesihatan awam untuk tahun akan datang.
"Suhu yang melonjak berpunca daripada perubahan iklim dan kesan terhadap penduduk yang mudah terjejas akan menjadi lebih teruk.
"Panas melampau yang kita saksikan sejak beberapa hari lalu akan memberi kesan lebih buruk kepada golongan miskin.
"Ia mungkin mengancam nyawa mereka yang mana tidak mempunyai akses kepada penyejukan atau tempat perlindungan yang mencukupi," kata Fahad yang berpangkalan di Pakistan.
Di samping itu, di Bangladesh pula, ratusan orang berkumpul di ibu kota Dhaka minggu ini untuk berdoa memohon hujan selepas suhu mencecah 40.6 darjah Celsius merupakan rekod tertinggi sejak 1960-an.
"Mereka mengadakan solat hajat memohon hujan, suhu berkurangan dan perlindungan daripada gelombang haba," kata Ketua Polis Tempatan, Abul Kalam Azad.
Negara yang berada pada paras rendah itu terjejas dengan mendadak akibat perubahan iklim termasuk mengalami banjir yang dahsyat dan hujan yang tidak menentu.
Di India, sekurang-kurangnya 13 maut akibat strok haba pada satu acara anugerah yang diadakan di Maharashtra barat negara itu pada Ahad lalu.
Ia berlaku ketika pihak berkuasa cuaca negara itu mengatakan bahawa bahagian utara dan timur India mengalami suhu kira-kira tiga hingga empat darjah melebihi normal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram