Kematian budak 12 tahun di Kluang bukan disebabkan strok haba — Pengarah Kesihatan Johor


  • Primer
  • Selasa, 02 Mei 2023

Dr Mohtar berkata, punca kematian kanak-kanak berkenaan disahkan akibat Renjatan Septik sekunder kepada Meningoencephalitis.

KEMATIAN seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di Kluang, Johor pada Isnin bukan disebabkan strok haba.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, punca kematian kanak-kanak berkenaan disahkan akibat Renjatan Septik sekunder kepada Meningoencephalitis (Septic Shock secondary to Meningoencephalitis).

"Adalah dimaklumkan siasatan dijalankan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang mendapati kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke wad kerana mengalami sawan selepas demam panas sehari sebelum dan mempunyai gejala batuk selama tiga hari," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Beliau berkata, JKNJ merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Terdahulu, media melaporkan bapa kanak-kanak berkenaan, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, mendakwa, anak keduanya Airiel Syahren, 12, mengalami demam panas pada Ahad malam sebelum meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

strok haba, JKNJ, Kluang, Mohtar Pungut