TINDAKAN pantas dan tidak panik seorang pemandu menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa samun di sebuah jalan yang gelap baru-baru ini.
Pengalaman menakutkan itu dikongsikan oleh seorang individu yang tidak diketahui identitinya melalui sebuah video papan pemuka kenderaan (Dashcam) yang dimuat naik semula di laman Twitter @nanmanjoi8715 pada Jumaat.
Melalui kisah yang dikongsikan video berkenaan, individu tersebut memandu dalam kawasan jalan raya yang gelap.
Menurutnya, jalan tersebut mengalami kesesakan lalu lintas hingga 30 minit sebelum kelibat seorang lelaki secara tiba-tiba muncul dengan bersenjatakan parang.
Suspek kemudiannya bertindak meluru naik ke arah kenderaan individu berkenaan dan cuba memecahkan cermin kereta tersebut.
Tidak panik dengan keadaan itu, pemandu itu terus memandu dengan laju dan memberhentikan keretanya secara tiba-tiba.
Suspek yang cuba berpaut itu juga dilihat terpelanting dan terjatuh di atas jalan. Namun begitu, suspek seakan-akan tidak berputus asa dan cuba mengejar kembali kereta berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada pukul 8.24 malam 24 April lalu berdasarkan cacatan data dalam dashcam kereta berkenaan.
Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian itu berlaku dan belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram