'Lupakan niat kawal Gate H Boys, mereka tidak ekstremis', pemerhati anggap memo TRW tak adil kepada fans


  • Podium
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Pihak pengurusan TRW difahamkan melarang para pemainnya untuk berjumpa dengan penyokong selepas perlawanan tamat.

KONTROVERSI yang melanda Kelantan FC pada ketika ini dilihat semakin meruncing dalam kalangan penyokong kelab bola sepak itu sendiri ekoran daripada perbezaan pendapat.

Bagaikan episod telenovela, skuad The Red Warrior (TRW) sememangnya cukup terkenal dengan dramanya yang tersendiri sama ada dari pemain, pemilik sehinggalah ke pihak pengurusan jurulatihnya.

Lebih parah lagi, pasukan yang baru menyertai divisyen teratas bola sepak tempatan pada musim ini hanya mampu menduduki tangga ke-13 carta Liga Super.

Malah ada dalam kalangan penyokong berasakan tindakan pemilik kelab Norizam Tukiman atau Zamsaham yang terlalu gopoh dalam merencanakan pasukan menjadi punca kepada beberapa siri kekalahan TRW selama ini.

Terbaharu, pihak pengurusan kelab difahamkan melaran pemainnya untuk berjumpa dengan penyokong selepas perlawanan tamat.

Dalam satu memo bertulis yang dikeluarkan oleh jabatan keselamatan TRW, sesi tersebut hanya boleh dilakukan jika para pemain sudah mendapat kebenaran daripada pegawai bertugas.

Memo dari pihak pengurusan TRW yang bertebaran di media sosial.

Memo dari pihak pengurusan TRW yang bertebaran di media sosial.

“Jangan sekali-kali pergi ke tribun peminat selepas tamat perlawanan melainkan mendapat kelulusan pegawai keselamatan. Semua pemain dan jurulatih perlu terus ke bilik persalinan selepas selesai berjabat tangan di bangku simpanan,” jelas kenyataan tersebut.

Selain arahan tersebut, terdapat beberapa lagi peraturan baharu yang dibuat oleh pihak pengurusan dan jika diteliti surat tersebut bertarikh 27 April 2023.

Melihat kepada situasi tersebut, pemerhati Sukan, Zuraimi Zukri tampil memberikan pendapatnya yang tersendiri dengan berasakan pihak pengurusan tidak berlaku adil pada penyokongnya.

Malah, memo itu juga dirasakan seperti Zamsaham memboikot penyokong yang selama ini sentiasa memberikan sokongan padu pada pasukan itu.

"Selamat tinggal TRW, masa sesuai untuk menjauhi diri buat seketika kerana ada benda tidak kena. Jumpa lagi musim depan.

2034089

Pemilik kelab Kelantan FC Norizam Tukiman. — Facebook/TRW

"Jika Zamsaham mahu menguasai kelab penyokong skuad TRW, 'Gate H Boys', saya rasa baik lupakan. Saya tidak mengenali dengan baik kumpulan penyokong ini, saya cuma kenal beberapa orang sahaja dari mereka.

"Itu pun atas dasar persahabatan peribadi bukan hal kelab penyokong mereka. Bagi saya, mereka antara kumpulan penyokong terbaik, setia dan besar di Kelantan," tulisnya.

Zuraimi turut menyangkal dakwaan yang kelab penyokong skuad berkenaan terlibat dengan peristiwa sepanduk di jejantas sebagai tanda protes kepada Zamsaham.

"Ketika kain rentang di jejantas mendapat liputan, mereka dengan segera menafikan mereka terlibat. Lagipun kain rentang itu berada di luar stadium, mana-mana individu atau kumpulan pun boleh buat.

"Ketika kedengaran #boikot perlawanan Kelantan, mereka keluar dengan kenyataan tidak menyokong malah mengecamnya, " tulisnya.

Tambah Zuraimi lagi, pihak pengurusan seharusnya tidak perlu bertindak sedemikian kerana ketika pasukan tersebut mengalami detik hitam mempunyai krisis kekurangan kewangan kumpulan penyokong berkenaan yang bangkit untuk membantu.

340759529_1310237032863962_8220462505017982378_n

Skuad TRW yang baru menyertai divisyen teratas bola sepak tempatan pada musim ini hanya mampu menduduki tangga ke-13 carta Liga Super. — Facebook/TRW

"Ketika era Bibi Ramjani mempunyai krisis kekurangan kewangan, satu dari mereka ada bertanya bagaimana kita boleh membantu pasukan. Tidak kiralah RM4,000 atau RM5,000 sebulan.

"Apa cerita seterusnya, saya tidak tahu tetapi dari situ saya tahu kumpulan ini bukan kumpulan yang meminta, tetapi cuba memberi. Tak silap ada satu masa Bibi Ramjani menghadiahkan kepada mereka beberapa peralatan.

Mereka dituduh akan menjadi bias dan mula dikecam. Sebenar tak, ia cuma adat orang berbudi kita berbahasa. Mana pernah mereka menentang Tan Sri Annuar Musa, Bibi Ramjani, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau Zamsaham.

"Mereka sebenarnya tahu banyak hal dalaman pasukan tetapi memilih untuk tidak membincangkannya secara umum. Atas alasan beri ruang kepada kelab tentang masalah yang mereka tahu. Mereka berdiri atas nama pasukan bukan individu besar dalam kelab.

"Ada dari mereka sudah di dihalang dari individu penting dalam kelab itu, mungkin kerana mereka tidak terlalu mengikut kehendak," katanya lagi.

Jelas Zuraimi, dia tidak mempunyai kaitan atau kepentingan dengan kelab pasukan tersebut tetapi memuji tindakan mereka.

343732641_6439805806040331_5326894582512939660_n

KELANTAN FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 1-3 kepada pasukan Perak FC dalam saingan liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.

"Bagi saya mereka adalah kumpulan penyokong yang hebat. Jika kelab mahu mengangkat bendera perang kepada mereka, saya akan berpihak kepada mereka.

"Pada pendapat saya, seperti yang dinyatakan, jika kelab mahu menguasai kelab penyokong ini, maka lupakan sahaja. Setahu saya, mereka kumpulan yang selesa dengan kebebasan tetapi tidak ekstremis.

"Mungkin saya salah tentang kumpulan ini, tetapi sejak lebih lima tahun lepas saya sangat menghormati mereka. Mereka tidak pernah berubah kerana mereka berdiri atas nama pasukan.

"Mungkin Zamsaham tidak bersetuju dengan beberapa perkara seperti, mereka meletakkan poster terbalik atau sebagainya tetapi ia tidak terlalu melampau. Sekadar ekspresi diri mereka dengan situasi semasa. Tiada kata-kata kesat dan sebagainya.

"Dari perspektif saya, mereka cuma sekumpulan anak muda mahu bergembira menonton pasukannya dengan cara mereka," katanya.

Dia juga berpendapat tindakan pihak pengurusan TRW memusuhi penyokong sama memusuhi aset terbaik yang Kelantan ada.

"Biarkan mereka bebas selagi tidak melampau, tidak semua benda anda boleh kuasai dan kawal.

Dengan kes larangan yang dikeluarkan, saya sudah jadi lain macam dan mungkin masa sesuai untuk menjauhi kelab ini buat sementara.

"Kelab tidak bijak menilai, kegagalan kelab datang dari mereka sendiri, mula takut dengan bayang-bayang sendiri dan menutup ruang kebebasan yang lain.

"Kelab boleh bergaduh dengan fans media sosial tetapi tidak untuk kumpulan penyokong fizikal ini. Adakah kelab mahu membina kelab penyokong yang baru dan sendiri?

Tanya diri sendiri, mereka 'kelab penyokong Ahmad' atau kelab penyokong TRW? Ahmad tak ada mereka pun hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram