Percutian tragik, 2 beradik lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Buloh


  • 112
  • Isnin, 01 Mei 2023

Pihak bomba membawa keluar kedua-dua mangsa lemas sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili pada Isnin. —Foto/Bomba

PERCUTIAN sekeluarga pada Hari Pekerja bertukar tragedi apabila dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 10 dan 13 tahun lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Buloh, Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor pada petang Isnin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden terbabit sekitar jam 3.39 petang.

Menurutnya, seramai sembilan anggota dari BBP Penawar kemudianya digegaskan ke lokasi kejadian dan setibanya di kawasan kejadian, pihak bomba mendapati empat mangsa daripada satu keluarga lemas di lokasi.

"Dua daripada mereka diselamatkan orang awam, manakala dua lagi mangsa lemas dan dibawa naik ke darat sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) tiba ke lokasi.

"Kedua-dua mangsa yang lemas itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Sufian memaklumkan, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia itu bernama Siti Nursalina Johari, 10 dan kakaknya, Siti Rabiah Johari, 13.

Manakala mangsa yang cedera dalam kejadian terbabit bernama Saleha Haron, 27, dan Mersidita Yunos, 46, yang merupakan ibu kepada kedua-dua mangsa tersebut.

Beliau berkata, PKO bertindak memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa yang cedera dan kedua-dua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram