SEORANG remaja perempuan ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama keluarganya di Lata Changkah, Kampung Hulu Seladang, Bandar Permaisuri, Terengganu pada 12.15 tengah hari Rabu.
Nor Alia Farhana Mat Zaid, 19, lemas selepas tergelincir dan tenggelam ketika mandi bersama lima sepupu perempuan dengan ditemani bapa saudara mereka.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Affandi Hussin berkata, mangsa yang berasal dari Seri Bandi, Kemaman berjaya dibawa naik ke darat oleh bapa saudaranya dengan bantuan ahli keluarga lain.
Beliau berkata, ahli keluarga mangsa kemudian menghubungi polis untuk bantuan dan Nor Alia Farhana disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian pada pukul 1.55 tengah hari.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan selanjutnya. Polis ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air atau di mana sahaja," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram