Tragedi Syawal, budak perempuan 3 tahun lemas dalam kolam ketika beraya rumah datuk di Tambun


  • 112
  • Isnin, 01 Mei 2023

Kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui terapung oleh abangnya di sebuah kolam dekat rumah datuknya di Tambun, Ipoh, Perak. — Gambar hiasan

MOMEN indah menziarahi ahli keluarga di rumah datuk di Tambun, Perak ketika Aidilfitri bertukar suram apabila seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas dalam kolam renang kanak-kanak pada petang Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia tiga tahun itu didapati terapung dalam kolam tersebut oleh abangnya kira-kira pukul 6.30.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kolam yang terletak di sebelah rumah datuk mangsa adalah milik jirannya.

"Ketika kejadian, mangsa berada bersama ibunya menziarahi rumah saudara, manakala bapanya pergi menghantar seorang lagi saudara ke tempat penginapan.

“Kira-kira pukul 6.30 petang, abang mangsa menemui mangsa terapung di dalam kolam, dan dia dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, polis menerima maklumat daripada hospital mengenai kematian kira-kira pukul 9.25 malam pada Ahad dan hasil bedah siasat yang dijalankan pada Isnin mendapati punca kematian adalah daripada lemas.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak kerana meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan munasabah.

Tambah Mohd Yusri, kematian tersebut merupakan kes keempat lemas dilaporkan tahun ini di Ipoh, Perak akibat kecuaian ibu bapa.

“Polis memandang serius kes sebegini, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa, dan penjaga kerana gagal mengawasi anak mereka,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram