Ziarah Aidilfitri bertukar tragedi, kanak-kanak perempuan lemas dalam kolam renang di Tambun


  • 112
  • Rabu, 26 Apr 2023

Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan mati lemas selepas ditemui terlentang di kolam renang. — Facebook

ZIARAH Aidilfitri sepasang suami isteri ke rumah seorang ahli keluarga berakhir tragedi apabila anak perempuan mereka yang berusia setahun sembilan bulan maut akibat lemas di dalam kolam renang rumah datuknya di Tambun, Perak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 8.45 malam selepas bapa kanak-kanak tersebut menjumpai mangsa dalam keadaan terlentang dan terapung dalam kolam renang itu.

"Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit bersama kedua-dua ibu bapanya masing-masing berusia 31 dan 33 tahun kerana menziarahi ahli keluarga mereka di sebuah rumah lot yang dimiliki oleh datuk mangsa.

"Bapa mangsa kemudiannya menghantar mangsa ke sebuah hospital swasta namun telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak mendapati punca kematian mangsa akibat lemas.

Sehubungan itu, ibu bapa mangsa disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.

"Justeru, pihak polis ingin memberi nasihat dan peringatan kepada orang awam khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram