Budak Bangladesh diselamat dari kontena kapal di pelabuhan Klang meninggal dunia


  • Benua
  • Ahad, 30 Apr 2023

Tangkap layar penemuan kanak-kanak itu yang tular di media sosial pada Januari lalu.

KANAK-kanak lelaki Bangladesh berusia 14 tahun yang sebelum ini menggemparkan negara selepas tiba di Malaysia melalui kontena kapal melalui jalan laut dari Chittagong dilaporkan meninggal dunia.

Dia yang sudah dihantar pulang ke negaranya ditemukan lemas di dalam kolam berhampiran rumahnya.

Menurut laporan The Daily Star, Ratul Islam Fahim, yang berasal dari Monoharganj, bahagian pentadbiran di Cumilla, Bangladesh, dikatakan lemas ketika mandi seorang diri pada Sabtu.

Bapanya, Faruq Miah berkata, Ratul mengalami masalah mental.

“Sekitar pukul 2.30 petang, Ratul lemas ketika mandi seorang diri,” katanya.

Pengerusi majlis kesatuan tempatan, Ashikur Rahman Hiron berkata, Ratul lemas ketika mandi seorang diri di kolam kerana tidak tahu berenang.

Pada tahun lalu, Ratul hilang sejak 13 November sebelum ditemui di atas kapal - MV Integra - di Pelabuhan Klang pada 17 Januari.

Kapal itu tiba dari pelabuhan Chittagong di Bangladesh ke Malaysia pada 12 Januari 2023.

Pada 16 Januari, kelasi kapal mendengar suara datang dari dalam kontena kapal kosong dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa pelabuhan.

Pada 17 Januari, remaja itu diselamatkan selepas kontena di bawa ke jeti untuk dibuka.

Susulan penemuan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan lemah pada 17 Januari ketika kapal itu berlabuh di pelabuhan.

Saifuddin berkata, siasatan mendapati tiada unsur pemerdagangan manusia dalam kes tersebut.

Ratul dihantar pulang pada 21 Februari lalu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram