[VIDEO] Sempat tunduk hormat, polis buru suspek berkopiah curi beg jemaah sedang solat dalam masjid di Kota Bharu


  • 112
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Tangkap layar seorang lelaki mencuri beg silang ketika menunaikan solat zuhur di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan.

POLIS sedang memburu seorang lelaki yang dilihat mencuri beg silang seorang jemaah yang sedang bersolat pada waktu Zuhur di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu lepas, setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada mangsa yang berusia 25 tahun pada pukul 2.50 petang hari yang sama dan kerugian dianggarkan RM2,000 termasuk telefon bimbit dan wang tunai RM150.

"Suspek ketika itu memakai seluar panjang berwarna hitam, berkemeja putih dan berkopiah, dianggarkan berumur sekitar 30-an," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi Sarjan Mohd Hafiz Muhammad Khila dengan menelefon 013-9529828 atau 09-7752200, atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram