
SEORANG wanita menemui ajalnya selepas dirempuh tanpa sengaja oleh kenderaan dipandu suaminya di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada Jumaat.
Mangsa yang berusia 59 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa turun dari kereta jenis Proton Saga selepas tertinggal barang di dalam rumah.
“Suaminya berusia lingkungan 60-an yang sedang mengundur kereta itu kemudian dikatakan tertekan pedal minyak lalu terlanggar mangsa yang berada di tepi sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kata beliau, pemandu turut melanggar sebuah kereta Perodua Myvi yang diletakkan di hadapan rumah.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan manakala isterinya mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram