PEMBAYARAN sesuatu cukai oleh umat Islam tidak melepaskan mereka terhadap kewajipan untuk menunaikan zakat.
Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, hukum itu meliputi jenis harta yang boleh dikenakan cukai dan zakat pada waktu yang sama.
"Ada yang fikir dia tidak perlu bayar zakat (harta) sebab dia dah bayar cukai pendapatan. Jadi itu tidak betul sama sekali. sebab itu saya kata cukai pendaptan lain dan zakat lain.
"Cukai tidak membatalkan seseorang itu daripada tidak bertanggungjawab membayar zakat. Kalau dia dah bayar cukai dia tetap kena bayar zakat," katanya kepada Majoriti.
Syed Shahridzan berkata demikian bagi mengulas mengenai kemungkinan pengenalan cukai terhadap emas oleh kerajaan di bawah cukai barangan mewah yang kini sedang dalam peringkat penilaian.
Antara jenis barangan dilaporkan berkemungkinan terkesan dengan pengenalan cukai baharu itu ialah emas.
Syed Shahridzan berkata, Islam sememangnya sudah pun mengenakan kewajipan untuk membayar zakat emas termasuk perak seperti dinyatakan secara jelas dalam surah At-Taubah ayat ke-34.
Namun begitu, beliau berkata, zakat dan cukai merupakan dua konsep pungutan kekayaan atau harta yang berbeza dari segi syarat mahupun kepentingannya.
"Zakat ini walaupun ada orang kata macam cukai, tapi tidak. Dia adalah satu kutipan bagi mereka yang mencapai kemampuan atau syarat tertentu yang mana hasil kutipan akan diserahkann kepada asnaf yang memerlukan.
"Manakala cukai pula dia tidak hanya kepada asnaf, tapi juga untuk kebajikan dan kemaslahatan kepada umum," ujarnya.
Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed.
Syed Shahridzan berkata, umat Islam di Malaysia tidak seharusnya risau terhadap kesan pengenalan cukai terhadap jumlah emas simpanan mereka sekiranya ia benar-benar dilaksanakan.
Katanya, ini kerana di Malaysia, kerajaan sudah pun memberikan pelepasan terhadap cukai pendapatan terhadap individu yang membayar zakat.
"Ini adalah salah satu kelebihan ada di negara kita. Jadi saya rasa tidak timbul isu kena bayar dua kali (pengenaan cukai dan zakat terhadap simpanan emas)," jelasnya.
Syed Shahridzan bagaimanapun mengingatkan umat Islam di Malaysia agar membuat pembayaran zakat itu kepada pihak berkuasa yang ditetapkan oleh jabatan agama masing-masing.
Katanya, ini bagi memastikan pihak yang menerima pembayaran itu memiliki hubungan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang hendak menunaikan kewajipan tersebut perlu merujuk kepada pusat pungutan zakat di negeri masing-masing bagi mengetahu syarat dan jumlah harta yang perlu dizakatkan.
Jelas beliau, ini kerana bagi zakat emas, kaedah pengiraan bagi kategori emas perhiasan antaranya barangan kemas seperti rantai dan gelang serta bukan perhiasan seperti jongkong emas adalah berbeza antara satu sama lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram