Jutawan Ramadan dipantau bawah kategori pembayar cukai IBT — LHDN


  • Primer
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Peniaga yang mengumpul pendapatan tinggi ketika sepanjang tempoh bulan Ramadan dikategorikan sebagai pembayar cukai di bawah IBT. — Gambar hiasan

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mempunyai kaedah pemantauan khusus bagi mengesan individu berpendapatan tinggi termasuk mereka yang bergelar jutawan ketika menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, kumpulan tersebut dikategorikan sebagai pembayar cukai di bawah Fail Individu Berprofil Tinggi (IBT).

Katanya, asas pemilihan kes audit dilakukan ke atas kategori peniaga sama seperti kategori pembayar cukai lain iaitu melalui sistem komputer berasaskan kepada kriteria penilaian risiko dan pelbagai punca maklumat diterima.

Ia meliputi maklumat diterima daripad pihak ketiga, pemilihan berasaskan industri tertentu, pemilihan berasaskan isu khusus bagi kumpulan pembayar cukai tertentu dan pemilihan berasaskan lokasi.

"Fail IBT yang diletakkan secara berpusat di setiap Pejabat LHDN Negeri ini membolehkan pemantauan secara ketat dibuat.

"Selain memastikan LHDN dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai bagi kategori ini yang telah menyumbangkan cukai dalam jumlah yang besar kepada negara," katanya kepada Majoriti.

People start to shopping for upcoming Hari Raya celebration at Bazar Ramadhan KL, Jalan Raja infront of Sultan Abdul Samad building in Kuala Lumpur. FAIHAN GHANI/The Star.

Ranjeet berkata, trend peningkatan pendapatan peniaga pada bulan Ramadan sememangnya dilihat menunjukkan kenaikan positif terutamanya dalam kalangan mereka yang menyediakan keperluan Hari Raya.— Gambar hiasan

Dalam pada itu, Ranjeet berkata, trend peningkatan pendapatan peniaga pada bulan Ramadan sememangnya dilihat menunjukkan kenaikan positif terutamanya dalam kalangan peniaga menyediakan keperluan Hari Raya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi tujuan percukaian, pendapatan para peniaga hanya dapat diukur berdasarkan maklumat pendapatan dilaporkan pembayar cukai secara tahunan dan bukan dalam tempoh tertentu seperti bulan Ramadan.

"Untuk makluman, bagi pembayar cukai individu yang bermastautin dan menerima pendapatan perniagaan, mereka harus menggunakan Borang B (manual) atau e-B (e-Filing) untuk melaporkan pendapatan tahunan mereka.

"Tarikh akhir penghantaran borang B atau e-B ialah pada 30 Jun bagi mereka yang menghantar secara manual dan 15 Julai bagi mereka yang menghantar secara e-Filing," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan peniaga, LHDN mengamalkan pendekatan AES iaitu Awareness (Kesedaran Cukai), Education (Pendidikan Cukai) dan Services (Perkhidmatan Cukai).

Katanya, LHDN turut mempelbagaikan usaha mendekati pembayar cukai melalui aktiviti libat urus bersama agensi kerajaan, persatuan perniagaan dalam pelbagai industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Muslims buying clothes, biscuits and house decorations among others for Raya at PKNS Complex Shah Alam. - Photos: KK SHAM, LOW LAY PHON & AZLINA ABDULLAH/The Star

Ranjeet berkata, usaha meningkatkan kesedaran untuk membayar cukai dalam kalangan peniaga dibuat antara melalui platform dalam talian atau melalui pelaksanana program secara fizikal. — Gambar hiasan

Menurut Ranjeet, selain itu, usaha meningkatkan kesedaran juga dilakukan menerusi pelbagai saluran meliputi platform dalam talian seperti sosial media dan cara tradisional iaitu melalui siaran akhbar atau program secara fizikal.

"LHDN turut bakal melaksanakan Program Pengakuan Sukarela yang akan bermula pada 1 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024 yang merupakan suatu platform untuk pembayar cukai melaporkan pendapatan mereka yang belum dilaporkan atau terkurang melaporkan pendapatan sebenar.

"Pelaksanaan program ini diharapkan dapat menggalakkan peniaga termasuk mereka yang bergelar jutawan untuk lebih terbuka mengisytiharkan pendapatan sebenar mereka dengan tawaran penalti pada kadar 0 peratus, ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jutawan, Ramadan, LHDN, Aidilfitri, peniaga