Potong gaji, sekatan ke luar negara dikenakan jika gagal langsai baki cukai kena bayar sebelum 30 April


  • Massa
  • Khamis, 16 Mac 2023

Tarikh akhir penghantaran borang tersebut bagi yang melakukannya secara manual bagi 2023 ialah pada 30 April manakala untuk yang menghantar secara e-filing pula ditetapkan pada 15 Mei.

SERAMAI 711,115 individu sudah melakukan pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) di platform e-filing selepas ia mula dibuka pada 1 Mac lalu, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur berkata, jumlah tersebut membabitkan penghantaran borang B/BT/BE/M/MT oleh pembayar cukai individu layak dikenakan cukai pendapatan bagi tempoh percukaian tahun 2022.

Menurutnya, untuk tahun ini, dianggarkan seramai 3.8 juta pembayar cukai individu dijangkakan akan membuat pemfailan bagi tujuan bayaran cukai pendapatan.

Bagi mereka yang menghantar secara manual, tarikh akhir penghantaran borang tersebut ialah pada 30 April tahun ini manakala untuk yang menghantar secara e-filing pula ditetapkan pada 15 Mei 2023.

Dalam pada itu, Ranjeet menjelaskan, pembayar cukai yang gagal mengemukakan BNCP dalam tempoh ditetapkan berisiko dikenakan penalti seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

"Penalti ini bukan untuk menghukum pembayar cukai, tetapi untuk berlaku adil kepada pembayar cukai yang patuh kepada perundangan percukaian negara," katanya kepada Majoriti.

lhdn 3

Seramai 711,115 individu sudah melakukan pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) di platform e-filing selepas ia mula dibuka pada 1 Mac lalu.

Mengikut akta tersebut, jelasnya, kadar penalti maksimum cukai boleh dikenakan untuk kelewatan melebihi tempoh 24 bulan adalah sebanyak 45 peratus.

Untuk tempoh kelewatan sehingga 12 bulan pula, kadar penalti cukai boleh dikenakan adalah 15 peratus.

Kadar cukai itu boleh dikenakan kepada pembayar cukai kategori tidak menjalankan perniagaan, pembayar cukai memiliki sumber pendapatan perniagaan, pembayar cukai syarikat, badan amanah, koperasi dan perkongsian liabiliti terhad, katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai risiko lain bakal dihadapi pembayar cukai selain penalti atas kegagalan penghantaran BNCP, Ranjeet berkata, isu melunaskan bayaran cukai dalam tempoh ditetapkan juga diambil berat.

Katanya, individu mempunyai punca pendapatan penggajian perlu melunaskan baki cukai kena dibayar bagi setiap tahun taksiran selewat-lewatnya pada 30 April setiap tahun.

lhdn1

Kadar penalti maksimum cukai boleh dikenakan untuk kelewatan menghantar Borang Nyata Cukai melebihi tempoh 24 bulan adalah sebanyak 45 peratus.

"Jika mereka gagal, pastinya mereka akan berhadapan dengan tindakan selanjutnya oleh LHDN bagi tujuan pemungutan kerana ia akan dikategorikan sebagai cukai tertunggak dan layak dikenakan kenaikan cukai di bawah seksyen 103 ACP 1967," ujarnya.

Kadar penalti dikenakan adalah kenaikan 10 peratus daripada cukai yang perlu dibayar individu terbabit.

Ranjeet berkata, tindakan lain turut boleh dikenakan kepada individu gagal melunaskan bayaran cukai adalah arahan potongan gaji, sekatan perjalanan ke luar negara, kaveat, pelantikan ejen, tindakan pemungutan kepada pengarah syarikat dan tindakan mahkamah atau guaman sivil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram