[VIDEO] Mat rempit 'tersangkut' tengah bendang dikejar polis, cubaan bolos gagal


  • 112
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Kerana takut ditahan polis, kumpulan terbabit sanggup melalui jalan ban dan merentasi sawah bendang untuk melarikan diri. — IPDPendang

SEKUMPULAN 'mat rempit' sanggup meredah bendang dengan menaiki motosikal kerana mahu lari daripada sekatan pihak polis.

Usaha kumpulan terbabit bagaimanapun gagal selepas motosikal ditunggang terkandas apabila memasuki kawasan sawah padi yang masih berlumpur dan tidak boleh dilalui kenderaan jenis tersebut.

Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku ketika Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di Kampung Charuk Kudung, Pendang, Kedah, pada Rabu.

"Dalam operasi ini, Polis Pendang berjaya menahan 62 buah motosikal dan seramai lebih kurang 90 individu dalam lingkungan umur 11 hingga 22 tahun telah diperiksa.

"Terdapat individu cuba melarikan diri dengan melalui jalan ban dan merentasi sawah bendang untuk meloloskan diri tetapi gagal dan berjaya ditahan.

"Kesemua mereka dibawa ke Balai Trafik Pendang untuk pemeriksaan lanjut dan diserah kepada waris dan pemilik kenderaan masing-masing," menurut kenyataan.

Katanya, operasi itu dijalankan selepas pihak polis menerima aduan penduduk kawasan tersebut mengenai kehadiran sekumpulan penunggang motosikal yang membuat bising dengan bunyi enjin kuat dan mengganggu ketenteraman awam.

Sebanyak 102 saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, ubahsuai struktur kenderaan, penunggang bawah umur dan juga ubah suai ekzos.

Tambah kenyataan itu lagi, sebanyak tujuh buah motosikal disita dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, mat rempit, Pendang, Kedah, samseng jalanan