
SEKUMPULAN mat rempit sanggup menghabiskan waktu beraya dengan bersembunyi di dalam kebun kelapa sawit di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi, Johor selama kira-kira enam jam pada Ahad semata-mata kerana mengelak daripada dikesan pihak polis.
Bagaimanapun, kesemua mereka akhirnya mengalah dan keluar dari tempat persembunyian kerana tidak tahan keadaan di kebun berkenaan di samping turut merasa kelaparan serta mengidam menikmati juadah raya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, insiden itu berlaku ketika operasi khas Op Selamat yang dijalankan sempena perayaan Aidilfitri.
"Semasa operasi dijalankan kebanyakan mat moto telah sembunyi masuk ke dalam kawasan kebun sawit sekitar pukul 3.00 pagi dan kebanyakan mereka cuba untuk keluar melalui 'jalan tikus' yang dikepung pihak polis.
Antara kenderaan dikesan melakukan kesalahan jalan raya semasa Ops Selamat. — Polis Kulai
"Akhirnya pada jam lebih kurang pukul 9.00 pagi, satu persatu menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu kerana tidak tahan dengan keadaan didalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan 'lapar dan rindu juadah hari raya pertama'," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu, berlaku operasi yang dilaksanakan selama 18 jam bermula Sabtu itu dijalankan bagi mengekang kegiatan mat rempit di sekitar daerah tersebut.
Dalam operasi tersebut, Beng Yeow berkata, sebanyak 140 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan (LKM) tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.
"Sebanyak 39 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram