[VIDEO] Penyamun helmet 'full face' buat pusingan U sebelum ragut warga emas di Subang Jaya


  • Tular
  • Ahad, 18 Dis 2022

Kedua-dua suspek menggunakan modus operandi memakai topi keledar muka penuh untuk mengelakkan diri daripada dikenali orang awam.

SEORANG warga emas bersama suaminya berdepan detik cemas ketika diragut oleh mat rempit di kawasan deretan kedai pada petang Sabtu.

Kejadian itu berlaku di Jalan USJ 10/1, Taipan, Subang Jaya, Selangor.

Insiden itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam yang berada tempat kejadian dan dimuat naik semula melalui akaun Telegram InfoSemasa pada Ahad.

Melalui rakaman video tersebut menunjukkan penunggang motosikal bersama rakannya datang dari simpang kanan jalan sebelum membuat pusingan 'U' selepas melihat mangsa.

Kedua-dua suspek menggunakan modus operandi memakai topi keledar muka penuh untuk mengelakkan diri daripada dicam orang awam.

Suspek turut menunggang dalam keadaan berbahaya dan hampir melanggar beberapa pejalan kaki yang kebetulan berada di situ.

Penunggang itu kemudiannya mendekati pasangan warga emas terbabit dan meragut barang berharga disyaki telefon bimbit dari tangannya.

Turut kedengaran suara mangsa wanita terbabit menjerit kerana terkejut namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana situasi itu berlaku dengan pantas.

Dalam video berdurasi 36 saat itu, pemandu kenderaan itu juga dilihat cuba mengejar mangsa namun gagal.

Menurut seorang pengguna Telegram, Chin berkata, kejadian seperti itu bukanlah kali pertama terjadi.

"Not the first time, just be careful everyone in Subang (Bukan kali pertama terjadi, hati-hati warga Subang)," katanya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram