PIHAK sekolah perlu membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, bagi kawasan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi di bawah KPM turut diingatkan agar memantau aktiviti yang mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
"Murid digalakkan untuk mengambil air minuman dalam kuantiti sesuai bagi mengawal suhu badan selain perlu membawa air minuman sendiri," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Selain itu,jika keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman, pihak terbabit perlu membekalkan air minuman kepada murid yang tinggal di asrama.
"Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
Menurut KPM, semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan selain peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram