PENDUDUK di Lorong Haji Said di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor berdepan detik cemas apabila sebuah tadika dan kedai runcit yang jaraknya hanya 50 meter dari rumah terbakar pada Selasa.
Siti Anom Mohd Hamdan, 46 berkata, dia terdengar bunyi seakan-akan mercun semasa kebakaran berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Dia yang tinggal di kawasan itu sejak lahir berkata, ia turut disusuli dengan gangguan bekalan elektrik semasa suri rumah tersebut berada di dapur untuk menyediakan juadah makan tengah hari.
"Tidak lama kemudian mak saya terdengar bunyi penggera bomba di depan rumah, bila dia keluar rumah, dia terdapat kedai runcit tersebut terbakar.
"Ini kali pertama ia terbakar sejak saya tinggal di sini lebih 40 tahun kerana ibu bapa saya memang penduduk asal sini," katanya kepada Majoriti pada Rabu.
Dalam pada itu, Pengurus Tadika Pasti Jalan Kebun, Azman Mohd Mah Husin berkata, dia dimaklumkan tentang insiden terbabit oleh pekerjanya yang tinggal berhampiran tadika tersebut kira-kira pukul 12.54 tengah hari.
Dia selepas menerima mesej tersebut terus bergegas dari Pelabuhan Klang ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri premis berkenaan hangus dijilat api.
"Mereka dakwa punca kebakaran ini dari surau di sebelah atas tadika ini.
"Kebetulan tiada orang di dalam premis ketika itu, jadi saya tidak sempat selamatkan apa-apa barang dari tadika tersebut," katanya yang menyelia premis berusia lebih 30 tahun tersebut.
Azman menunjukkan tadika seliaanya di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor yang terbakar pada tengah hari pada Rabu.
Penduduk lain, Akashah Jupri, 62, terkejut menerima mesej daripada anak saudaranya mengenai kebakaran tersebut sebaik sahaja tiba di rumah ibu saudaranya di Telok Menegun, Klang, Selangor untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Dia kemudiannya bergegas pulang dan setelah tiba di rumahnya, bangunan tadika dan kedai runcit termasuk sebuah rumah lama berusia hampir 100 tahun di sebelah rumahnya telah musnah dijilat api.
"Kami sekeluarga sempat mengalihkan barang-barang di rumah termasuk sebuah motosikal," katanya.
Kebakaran melibatkan sebuah tadika yang kemudiannya merebak ke kedai runcit bersebalahan termasuk sebuah rumah usang yang berusia hampir 100 tahun.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat melaporkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.37 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah tadika dua tingkat yang kemudiannya merebak ke kedai runcit serta rumah bersebelahan premis dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90.99 peratus.
"Api berjaya dikawal pada pukul 1.22 petang dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insident tersebut," katanya dalam laporan pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram