Runtuhan kecil masih berlaku di tapak lokasi MACA, aliran air bertakung punca utama — Polis


  • Primer
  • Rabu, 26 Apr 2023

Polis masih menjalankan operasi dan siasatan di kawasan tanah runtuh dekat Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. — Awani

POLIS mengesahkan terdapat runtuhan kecil yang masih berlaku di kawasan tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, terdapat beberapa runtuhan dipercayai berlaku pada pukul 10 malam dengan sedikit pergerakan tanah mengenai kawasan pagar Institut Integriti Malaysia (IIM).

Beliau berkata, operasi masih diteruskan pada Rabu dengan bantuan beberapa pasukan teknikal iaitu Jabatan Mineral dan Geosains, Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Jadi kita melihat dan mendapati masih berlaku runtuhan dan hakisan tanah di tempat runtuhan, sekadar menutup dengan kanvas mungkin tidak dapat mengurangkan risiko bahaya.

"Kita sedang berbincang untuk memasang cerucuk besi bagi mengelakkan bangunan berdekatan iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dan MACA daripada terus terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Beh berkata, polis percaya antara faktor insiden tanah runtuh ini ialah disebabkan terdapat aliran air yang ditemui pada Selasa dan takungan air atau mendapan.

"Perbincangan akan dijalankan bersama pasukan teknikal bagi proses pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan pada pukul 3 petang ini (Rabu) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Kami akan bincang sebentar lagi dan apakah hasil mesyuarat serta bila boleh dilaksanakan pemasangan cerucuk besi akan dimaklumkan pada satu sidang media yang dijadualkan pada 5.30 petang ini,” katanya.

MACA telah mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan seramai 45 individu susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utamanya pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada Selasa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram