SEORANG lelaki berusia 28 tahun yang didakwa diculik pada Isnin berjaya ditemukan dalam keadaan selamat, kata polis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, walaupun lelaki itu telah ditemui, motif di sebalik penculikan itu masih belum dapat dipastikan.
“Kami telah menahan tiga lagi individu yang terlibat dengan penculikan itu, sekali gus menjadikan empat orang ditahan buat masa ini,” katanya.
"Kami menahan dua lelaki dan seorang wanita pada petang Selasa antara pukul 7 malam dan 9 malam di tiga lokasi berbeza; Changlun, Jitra dan Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Polis telah menahan seorang lelaki berusia 43 tahun pada pagi Selasa dipercayai terlibat dengan kes tersebut.
Ahmad Shukri berkata, suspek berusia antara 39 dan 43 tahun selain menambah tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Mereka akan direman enam hari sementara menunggu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang lelaki diusung dan ditolak masuk ke dalam sebuah kereta oleh beberapa individu pada Selasa dan polis kemudiannya mengklasifikasikan isu berkenaan sebagai ke penculikan.
Video berdurasi 41 saat itu menunjukkan lelaki terbabit menjerit ketika diikat di tempat duduk belakang kereta sambil dipaksa beberapa lelaki untuk berdiam diri.
Ahmad Shukri berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang Isnin di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, di Alor Setar.
Bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan kerana menculik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram