Dr Zaliha cadang pelajar pakai pelitup muka di sekolah, Sarawak tunggu arahan KKM


  • Massa
  • Rabu, 26 Apr 2023

Pelajar sekolah disarankan untuk memakai topeng pelitup muka susulan kemunculan wabak baharu Covid-19 ketika ini. — Awani

SARAWAK akan menunggu keputusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan pemakaian semula topeng pelitup muka di sekolah sebelum keputusan dibuat berhubung perkara tersebut.

Timbalan Primier, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, jawatankuasa pengurusan bencana negeri akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu sebaik kementerian membuat keputusan.

"Kami perlu menilai keadaan semasa. Pada ketika ini, jumlah harian kes Covid-19 masih terkawal dan kami berharap ia akan terus di paras rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman di Kuching, Sarawak pada Rabu.

Uggah, yang mempengerusikan jawatankuasa itu menjawab cadangan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa supaya pemakaian topeng diwajibkan semula di sekolah bagi mengelakkan lonjakan Covid-19 khususnya varian baharu, XBB.1.16 yang juga dikenali sebagai Arcturus.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, beliau akan bertemu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek minggu ini untuk membincangkan cadangan itu, sambil menambah bahawa garis panduan akan dikeluarkan sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini satu perkara yang penting. Jika mana-mana pelajar dijangkiti selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, ia boleh mencetuskan jangkitan wabak itu di sekolah dengan mudah," katanya pada Rabu.

Dr Zaliha menambah, ibu bapa tidak perlu panik dengan penularan varian baharu tersebut kerana mereka yang dijangkiti biasanya mempunyai simptom ringan, namun beliau tetap menggesa agar semua pihak terus memakai pelitup muka bagi mengekang sebarang jangkitan daripada merebak.

Sehingga kini, 12 kes varian Arcturus telah dikesan, dengan masing-masing mencatatkan enam kes di Lembah Klang dan Sarawak.

Sementara itu, Uggah turut menasihatkan orang ramai supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai topeng ketika di tempat sesak dan menjaga kebersihan diri.

"Jika anda selesema atau demam, sila pergi ke hospital atau klinik dengan segera. Jangan anggap ia sebagai penyakit selesema biasa, ia mungkin Covid-19," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram