Terjatuh ketika berkebun, Musa Hitam terpaksa jalani pembedahan otak


  • Primer
  • Selasa, 25 Apr 2023

Nazir Razak dan Tony Fernandes melawat Musa Hitam selepas dikhabarkan menjalani rawatan pembedahan otak di hospital.

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam kini sedang menerima rawatan di hospital selepas tercedera akibat terjatuh ketika sedang berkebun sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Perkhabaran itu dikongsikan Tan Sri Nazir Razak menerusi hantaran di Instagramnya pada Selasa yang menziarah beliau di hospital bersama Tan Sri Tony Fernandes.

Menurut bekas Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd. itu, Musa terpaksa menjalani pembedahan otak pada 18 April lalu disebabkan insiden berkenaan.

Bagaimanapun katanya, bekas Timbalan Presiden Umno itu semakin pulih dan sudah boleh berjenaka seperti selalu.

"Tun Musa nampak sihat! Berpeluang menziarahi Tun Musa Hitam di hospital pada Selasa.

"Beliau terjatuh ketika berkebun dan perlu menjalani pembedahan minggu lepas.

"Beliau menyambut hari lahir ke-89 di atas katil pembedahan," katanya yang memuat naik gambar beliau bersama Musa dan Tony Fernandes.

Dalam pada itu, Nazir juga meminta semua pihak untuk mendoakan Musa agar diberikan kesembuhan sepenuhnya segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram