Remaja maut, rakan kritikal kena panah petir ketika main bola sepak di Sabah


  • 112
  • Selasa, 25 Apr 2023

Seorang remaja lelaki dilaporkan maut akibat dipanah petir ketika sedang bermain bola sepak di daerah Papar, barat daya Sabah pada Selasa. — The Star

SEORANG remaja lelaki dilaporkan maut manakala rakannya kritikal selepas dipanah petir ketika bermain bola sepak di daerah Papar, barat daya Sabah pada Selasa.

Paramedik mengesahkan Muhammad Zulqifle Redzwan, 13, meninggal dunia berikutan kejadian pukul 3.55 petang itu, manakala rakannya yang juga berusia 13 tahun kini dilaporkan kritikal di hospital.

Remaja lelaki itu dilaporkan bermain bola sepak di padang di bandar Papar, kira-kira 40km dari Kota Kinabalu, Sabah semasa kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mereka dimaklumkan mengenai kecemasan pada pukul 4 petang.

Pasukan Bomba dan Unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) segera dikerahkan dari Balai Papar ke lokasi, tambahnya.

“Laporan itu membabitkan dua remaja lelaki yang disambar petir ketika bermain bola sepak.

“Paramedik mengesahkan seorang daripada remaja lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian.

"Unit EMRS memberi rawatan pertolongan cemas kepada mangsa yang lain sebelum menyerahkannya kepada anggota Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital daerah," kata jurucakap itu.

Beliau berkata, mayat mendiang turut diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya, sambil menambah operasi ditamatkan pada pukul 4.40 petang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram