Kokurikulum Ramadan: Lewat maklum ibu bapa, Exco Perak akui kekhilafan sekolah di Tambun


  • Primer
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Khairudin berkata, tiada arahan khusus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar kegiatan itu dilaksanakan semasa tempoh tersebut. — Gambar hiasan

SEKOLAH dinasihatkan untuk tidak melaksanakan aktiviti kokurikulum sepanjang Ramadan, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Beliau berkata, langkah itu perlu dijadikan sebagai satu kelaziman setiap kali tibanya bulan puasa.

Menurutnya, ini kerana tiada arahan khusus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar kegiatan itu dilaksanakan semasa tempoh tersebut.

"Dari segi Pekeliling yang dikeluarkan, kementerian tetapkan perlu laksanakan (aktiviti kokurikulum) 12 kali setahun untuk tempoh sepanjang setahun sesi persekolahan.

"Maksudnya pihak sekolah perlu merancang, mungkin bulan puasa empat minggu ini tidak perlulah buat, laksanakan pada minggu-minggu lain," katanya kepada Majoriti.

file6zv0hol335l112zqlff3

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Khairudin berkata demikian bagi mengulas mengenai aduan ibu bapa di sebuah sekolah di Tambun, Perak pada Khamis berkaitan pelaksanan aktiviti kokurikulum itu ketika Ramadan.

Beliau memaklumkan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara sudah membuat siasatan di sekolah terbabit berhubung isu tersebut.

Menurutnya, difahamkan pihak sekolah sudah mengeluarkan surat kepada ibu bapa mengenai pelaksanan aktiviti kokurikulum itu pada 6 April lalu.

Beliau berkata, meskipun tindakan sekolah itu tidak salah atau melanggar peraturan, beberapa pertimbangan sepatutnya terlebih dahulu diambil oleh pengurusan sekolah terbabit sekiranya tetap melaksanakan kegiatan tersebut ketika Ramadan.

"Mungkin berlaku sedikit kekhilafan sebabnya perkara itu tidak dimaklumkan awal kepada ibu bapa. Pada 6 April itu pada saya agak lewat. Patutnya dimaklumkan sebelum puasa," ujarnya.

Katanya, pihak sekolah juga sepatutnya mendapatkan pandangan Jabatan Pendidikan Negeri, PPD dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekiranya tetap mahu melaksanakan aktiviti tersebut yang diadakan setiap Rabu ketika tempoh berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram