SEORANG guru yang sudah berkhidmat selama 30 tahun didakwa mengalami nasib malang selepas diarahkan bertukar sekolah dan diturunkan pangkat secara mengejut tanpa sebarang alasan.
Berkongsikan mengenai perkara tersebut kepada Majoriti, anaknya, Aina Nadhira, 25, memaklumkan ayahnya yang dikenali dengan panggilan Cikgu Azmi menerima surat arahan tersebut pada Jumaat lalu.
Apa yang mengejutkan, menurutnya, ayahnya diberi tempoh untuk berpindah dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangi, Selangor hanya dalam masa empat hari.
Katanya, arahan tersebut turut memaklumkan ayahnya yang berusia 55 tahun itu diturunkan gred daripada jawatan sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) kepada guru biasa di sekolah baharu tersebut.
"Saya tak faham mengapa perkara begini boleh berlaku. Saya tahu guru memang boleh ditukarkan, tapi mengapa sebegitu sekali diperlakukan kepada ayah saya tanpa apa-apa sebab," katanya.
Sebelum itu, Nadhira turut berkongsikan kisah itu di akaun TikTok miliknya.
Nadhira berkata, aduan berkenaan perkara itu turut dihantar kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Nadhira berkata, ayahnya merupakan seorang guru yang sentiasa komited ketika bertugas dan tidak mendapat sebarang makluman atau tanda-tanda akan ditukarkan ke sekolah lain sebelum menerima surat berkenaan.
"Tapi yang peliknya guru bakal menggantikan ayah dan mula masuk pada Isnin (hari ini) saya dimaklumkan lebih awal dan dan dia pun sempat buat majlis perpisahan manakala ayah saya hanya diberitahu pada Jumaat lalu," dakwanya yang merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.
Nadhira berkata, ayahnya sudah bertugas di sekolah tersebut sejak 30 tahun lalu iaitu ketika sekolah berasrama penuh itu masih berada di Cheras, Selangor sebelum dipindahkan ke Putrajaya.
Dalam pada itu, dia memaklumkan hampir kesemua saluran rasmi telah pun digunakan bagi membuat aduan berkenaan perkara tersebut.
Katanya, ia termasuk dengan menghantar surat kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Saya harap sangat YB menteri ambil serius tentang hal ini dan saya menunggu maklum balas. Saya harap penganiayaan seperti ini tidak akan berlaku kepada guru lain dan semoga isu ini dapat diselesaikan secara baik," ujarnya.
Nadhira memaklumkan, buat masa ini, ayahnya yang sepatutnya mendaftar di sekolah baharu pada Isnin sudah menghantar surat untuk meminta penangguhan kemasukan sehingga 1 Mei depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram