Dicekup edar dadah di masjid sehari selepas diijab kabul, pengantin baharu terpaksa 'berbulan madu' dalam lokap


  • 112
  • Selasa, 25 Apr 2023

Ahmad Adnan (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada pasangan pengantin baharu yang dicekup di Langkap, Perak pada Selasa. — IHSAN PDRM

SEPASANG pengantin baharu terpaksa ‘berbulan madu’ di dalam lokap setelah dicekup di Chikus dekat Langkap, Perak pada Selasa kerana disyaki mengedar dadah.

Pasangan berusia 23 dan 24 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak ketika sedang menunggu pelanggan di kawasan letak kenderaan sebuah masjid pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada Isnin ditahan bersama 20 bungkusan plastik disyaki berisi heroin dianggar bernilai RM77,000.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah beg pakaian dan menemukan dadah disyaki heroin itu yang dianggar seberat 9.268 kilogram.

"Dadah ini dipercayai untuk diedar ke luar Hilir Perak dan boleh menampung keperluan hampir 10,000 penagih," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Adnan berkata, saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif terhadap dadah jenis Methamphetamine.

"Pasangan ini tidak bekerja dan polis sedang mengesan ahli sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap mereka esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram