"SAYA tidak balik (kampung), lagi suka raya di sini."
Itu reaksi Narimah Alwi, 72, apabila disoal tentang perancangannya pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Katanya, dia lebih suka menghabiskan masa bersama penghuni lain pada hari raya berkenaan di Pusat Jagaan Warga Emas Lembaga Zakat Selangor (LZS), Bait Al-Mawaddah, di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Bukan kerana ada masalah keluarga, namun anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata hidupnya lebih tenang di pusat jagaan berkenaan kerana dapat mendalami ilmu agama dengan lebih fokus dan mendalam untuk dijadikan bekalan di alam yang kekal abadi.
"Kalau saya bersama mereka (adik-beradik yang sudah bekeluarga), mereka nak ziarah ke rumah keluarga mentua mereka, jadi (saya) rasa mengganggu, saya rasa sensitif sedikit. Orang tidak faham, tapi kita tahu perasaan sendiri.
"Memang saya nak masuk (ke pusat jagaan warga emas) kerana kita dah berusia, kita (nak) rasa sunyi sedikit, nak bersendirian dan beribadah dengan tenang, berzikir dan dapat solat berjemaah," katanya kepada Majoriti.
Narimah ketika ditemui di Pusat Jagaan Warga Emas LZS Bait Al-Mawaddah di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Disoal tentang keputusannya untuk tinggal di pusat jagaan warga emas tersebut, Narimah berkata ahli keluarganya tidak menentang perkara tersebut dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.
"Mereka ada juga tanya untuk ikut mereka beraya, tapi saya tidak mahu.
"Kalau diizinkan ALLAH, saya nak tinggal sini hingga akhir hayat kerana semuanya disediakan di sini," katanya.
Jamaliah ketika ditemui di Pusat Jagaan Warga Emas LZS Bait Al-Mawaddah di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Namun berbeza pula dengan Jamaliah Hasan, 75, yang memilih untuk menghabiskan sisa hidupnya di rumah orang-orang tua tersebut bagi mengisi kesunyian dalam hatinya selepas pemergian kakaknya pada 2019.
Anak bongsu daripada 11 adik-beradik itu bagaimanapun berkata, dia masih akan tetap beraya dengan anak-anak saudaranya di Klang di pagi Syawal kerana ia merupakan satu-satunya saat mereka sekeluarga akan berkumpul bagi meraikan hari yang bahagia itu.
"Saya masih nak beraya kerana sudah biasa setiap kali Aidilfitri dulu, kami semua berkumpul ramai-ramai. Tapi tahun ini tiada lagi kerana saya di sini, rumah pun sunyi.
"Tidak dinafikan saya terasa sunyi, tapi saya gembira berasa di sini kerana dapat tingkatkan amalan saya. Kalau ikutkan pengamatan saya, saya akan duduk di sini sampai bila-bila," katanya baru memasuki pusat jagaan tersebut pada pertengahan Mac lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram