KEMERIAHAN Hari Raya Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia pasti turut dirasai oleh kaum bukan Islam.
Begitu juga dalam bola sepak, apabila ada pemain bukan Islam yang begitu teruja dan seronok untuk meraikan sambutan perayaan itu bersama-sama masyarakat Islam di negara ini.
Bagi pemain import Sri Pahang FC, David Rowley, kedatangan Syawal sangat mengujakannya kerana selain tidak sabar untuk menjamah keenakan juadah Hari Raya, dia juga teruja untuk memenuhi jemputan rumah terbuka yang menjadi amalan masyarakat di negara ini.
"Saya harap ada undangan daripada rakan sepasukan untuk jemput saya ke rumah terbuka bagi meraikan raya bersama.
"Saya amat menantikan untuk jemputan berkenaan.
"Makanan kegemaran saya di Hari Raya Aidilfitri ialah lemang, rendang, kari dan macam-macam lagi, semua pun sedap," katanya kepada Majoriti.
Rowley menggemari juadah ringkas seperti tempe dan petai jeruk. — Instagram
Cerita Rowley, dia cuba berpuasa selama sehari pada bulan Ramadan lepas, namun pengalaman itu tidak begitu mencabar kerana kebanyakan masa diluangkan di rumah.
"Kalau banyak kerja di luar, pasti lebih sukar dan mencabar," kata pemain Harimau Malaya yang agak fasih berbahasa Melayu itu.
Mengenai juadah kegemarannya, pemain tengah Tok Gajah itu berkata, dia turut menggemari gulai tempoyak ikan patin yang amat sinonim dengan negeri Pahang.
"Saya ni tidak begitu cerewet bab makan. Saya orang yang simple, kalau kebiasaannya cukup ada nasi dan lauk seperti tempe, tauhu serta sayur-sayuran dan ulam-ulaman termasuklah petai jeruk.
Rowley sudah bermain di Liga Malaysia sejak 2018. — Facebook/ Sri Pahang FC
"Saya juga gemar nasi kerabu dan laksam," kata pemain warisan berdarah kacukan Malaysia-Australia yang sudah bermain di Liga Malaysia sejak 2018.
Mengulas mengenai prestasi Sri Pahang FC dalam dua perlawanan terakhir setakat ini, Rowley berkata, dia berharap pasukan dapat memperbaiki persembahan pada perlawanan akan datang.
"Semestinya semua pemain di Malaysia berpuasa pada Ramadan, dan ia memang sukar sedikit buat mereka.
"Mereka tidak dapat makan dan minum, jadi ini mungkin menganggu sedikit prestasi semasa sesi latihan, namun selepas ini, kita mungkin akan bertambah kuat dalam perlawanan seterusnya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram