Lagi tragedi Syawal, pelajar Tingkatan Enam maut dirempuh kereta ketika nak beraya di rumah kawan


  • 112
  • Isnin, 24 Apr 2023

Perlanggaran antara dua buah kenderaan menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaan dan dibawa keluar daripada kenderaan dengan bantuan pihak bomba. — PDRM

KETERUJAAN untuk beraya di rumah sahabat bertukar duka apabila seorang pelajar Tingkatan Enam maut dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 4 Jalan Gaung-Teris dekat Kampung Tajin, Kuala Berang, Terengganu kira-kira pukul 12.55 tengah hari pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Terenganu, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan berkata, mangsa, Nurnazifa Faizul Azman, 19, meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang akibat kecederaan pada bahagian kaki dan kepala, manakala seorang lagi parah dan empat yang lain cedera ringan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil bertembung dengan kereta Perodua Myvi dinaiki tiga penumpang dalam perjalanan dari rumah saudara di Kampung Tajin menghala ke rumah mereka di FELDA Jerangau Barat, Ajil, Terengganu.

Beliau berkata, mangsa bersama rakannya berusia 19 tahun ketika itu dalam perjalanan dari arah Kampung Bukit Diman ke Telemong, Kuala Terengganu, Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan, menyebabkan Nurnazifa tersepit dalam kenderaan dan dibawa keluar daripada kenderaan dengan bantuan pihak bomba.

"Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan, namun Nurnazifa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang.

“Pemandu Perodua Myvi berusia 25 tahun pula mengalami patah tangan kanan, cedera pada kaki dan luka pada badan, manakala empat mangsa lain termasuk penumpang Perodua Kancil mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Hasmerra berkata, siasatan lanjut sedang dijalakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rassyied Mohd Noh di talian 018-2054757 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram