Ajal Syawal, remaja maut rempuh kereta rosak di tepi lebuh raya 


  • 112
  • Isnin, 24 Apr 2023

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan. — PDRM

SEORANG remaja maut selepas motosikal ditunggang terlanggar sebuah kereta rosak yang berada di lorong kecemasan di Kilometer 78.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di Sungai Petani, Kedah, pada awal pagi Isnin.

Mangsa, Muhammad Faris Mohamad Zaini, 19, beralamat di Taman Kiara Mas, Pendang, Kedah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3.30 pagi ketika mangsa yang menunggang Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan menghala ke Alor Setar, Kedah.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal terbabit dipercayai melanggar kereta yang ketika itu berada di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

"Impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan penunggang motosikal maut serta-merta di lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan.

Zaidy berkata, tanda kon dipercayai sudah diletakkan oleh pemandu kereta berusia 41 selepas kenderaanya itu didapati rosak.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

"Pemandu kereta dari Kangar, Perlis itu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram