[VIDEO] Polis jalankan siasatan terperinci insiden imam dilanggar lepas solat Aidilfitri di Pontian


  • 112
  • Ahad, 23 Apr 2023

Tangkap layar video tular insiden kemalangan tersebut yang berlaku di Jalan Parit Haji Yusof, Benut, Pontian, Johor, pada Sabtu.

POLIS sudah melakukan siasatan terperinci berhubung insiden kemalangan membabitkan seorang imam dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Parit Haji Yusof, Benut, Pontian, Johor, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada pukul 2.17 petang hari kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira kira pukul 10.05 pagi itu menyebabkan imam tersebut yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun mengalami kecederaan di bahagian mulut.

"Mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Merlong dan terus dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk diberi rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohammad Shofee berkata, kenderaan yang terbabit dalam insiden tersebut dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 33 tahun.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tidak lebih 5 tahun serta denda tidak kurang dari RM5,000.00 dan tidak lebih RM15,000.00.

Dalam pada itu, Mohammad Shofee mengingatkan agar orang ramai tidak membuat spekulasi negatif terhadap insiden kemalangan tersebut.

"Pihak polis telah menjalankan siasatan terperinci dan tindakan undang undang diambil sekiranya menyebarkan berita tidak benar.

"Sebarang maklumat atau ingin melapor kejadian kemalangan boleh berhubung di talian hotline 07-6866224 @ 07-6869999," ujarnya.

Pada Sabtu, insiden kemalangan yang dikatakan berlaku selepas waktu solat sunat Aidilfitri itu tular di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram