NYARIS diperdaya membayar RM150, seorang peguam membuat tindakan bijak dengan hanya membayar RM50 sahaja kepada pemandu trak tunda atau longkai.
Kejadian tersebut bermula apabila longkai berkenaan menyuruhnya untuk mengalih kereta dari tengah-tengah jalan raya ke lorong kecemasan yang jaraknya beberapa ratus meter sahaja.
Di saat wanita tersebut masih terkejut dan bingung apabila kepalanya terhentak dengan airbag, dia tidak menyangka ada pula pihak mahu mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tinggi.
Dalam perkongsian dari wanita itu di laman TikTok miliknya @yarafee, harga RM150 itu adalah caj yang tidak munasabah dan dia berhasil membayar lelaki tersebut RM50 sahaja.
Menjengah di ruangan komen berkenaan, ramai warganet menyokong tindakan peguam tersebut yang bertegas dengan lelaki itu dan dapat mengelak dirinya daripada tertipu.
Tidak kurang juga ada segelintir warganet berpendapat bahawa wanita tersebut sepatutnya membayar dengan jumlah berpatutan kerana bukan mudah mendapat pertolongan ketika situasi cemas seperti itu.
Dalam satu hantaran lain, peguam itu menjelaskan bahawa pada awalnya dia sudah pun menghubungi pihak insurans, namun bantuan hanya akan tiba dalam masa tiga jam satu jangka masa yang lama.
Bukan itu sahaja, wanita itu juga berkongsi sebelum ini dia pernah membayar RM150 untuk menunda kereta sejauh 30 kilometer.
Dalam pada itu, ada juga warganet di media sosial Twitter berkongsi apa perlu dibuat sekiranya berlaku kemalangan di lebuh raya.
Antaranya dengan menghubungi pihak konsensi lebuh raya lokasi kemalangan seperti PLUS, ANIH, PROLINTAS dan lain-lain lagi yang menyediakan servis tunda kenderaan.
Selain itu, pengguna jalan raya juga boleh hubungi insurans kenderaan masing-masing dan dapatkan perkhidmatan menunda secara percuma. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram