Empat termasuk budak 2 tahun maut nahas kereta sama jenis bertembung di Kemaman, identiti mangsa belum dikenal pasti


  • 112
  • Isnin, 24 Apr 2023

Kemalangan membabitkan dua buah kereta jenis Proton Persona di Jalan Terengganu-Jabor, Kemaman, Terengganu pada petang Isnin. — JBPM Terengganu

MALANG tidak berbau apabila seorang kanak-kanak berusia dua tahun antara empat yang maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta jenis Proton Persona di Jalan Terengganu-Jabor, Kemaman, Terengganu pada petang Isnin.

Manakala lapan lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam nahas terbabit.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan insiden tersebut pada pukul 4.47 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh sambil dibantu oleh anggota di pusat rehat dan rawat (R&R) Perasing kemudiannya tiba di lokasi kemalangan dan memulakan misi menyelamat mangsa.

"Sebaik tiba di lokasi, terdapat tujuh mangsa di dalam salah sebuah kereta iaitu dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan manakala seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan dua kanak-kanak cedera.

"Seorang lelaki dewasa yang menaiki sebuah lagi kereta disahkan meninggal dunia manakala empat lagi mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak cedera," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Azman berkata, mangsa terakhir dalam nahas berkenaan dikeluarkan pada pukul 7.15 petang dan misi menyelamat berakhir pada pukul 8 malam.

Menurut beliau, mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dihantar ke hospital oleh ambulan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Namun katanya, identiti kesemua mangsa nahas masih belum dikenal pasti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram