[VIDEO] Nahas 1 Syawal, penunggang motosikal melambung atas bumbung rumah sebelum 'mendarat' di dapur


  • Benua
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas kemalangan hingga tercampak di atas bumbung sebuah rumah di Jawa Tengah, Indonesia. — Agensi

TATKALA orang ramai sedang sibuk menyambut perayaan Aidilfitri, seorang penunggang motosikal berhadapan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan hingga merempuh bumbung sebuah rumah di Jawa Tengah, Indonesia pada Sabtu.

Menerusi video dimuat naik di laman Facebook itu, sekumpulan penduduk kampung kelihatan mengerumuni sebuah rumah di kawasan tersebut.

Difahamkan, bumbung rumah berkenaan mengalami kerosakan dan berlubang akibat dihempap motosikal.

Penunggang motosikal itu dikatakan hilang kawalan ketika menuruni laluan curam sebelum melanggar atap genting rumah terbabit sehingga rosak.

Rakaman itu turut memaparkan situasi di dalam rumah tersebut yang kelihatan sangat berselerak susulan motosikal berkenaan jatuh di atas dapur rumah itu.

Motosikal yang dinaiki sepasang suami isteri bersama seorang kanak-kanak itu difahamkan tidak mengakibatkan sebarang kematian namun pemandu dilaporkan cedera parah.

Penghuni rumah tersebut turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian berkenaan namun belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden tersebut setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram